Selasa | 4 November 2025
spot_img

Adami Hairi terkejut nama terpalit isu lelaki pakai ‘make-up’

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Adami Hairi menzahirkan rasa terkejut apabila namanya tiba-tiba dikaitkan dengan isu tular berkaitan lelaki bersolek yang hangat dibincangkan di media sosial baru-baru ini.

Menurut Adami, beliau tidak menyangka akan terpalit dengan perbincangan tersebut, sedangkan dirinya tidak pernah keluar dengan memakai solek secara berlebihan kecuali atas urusan kerja atau sesi penggambaran.

“Saya pun terkejut bila nama saya disebut-sebut. Saya tak pernah keluar bermekap atau melebih, kecuali kalau ada urusan photoshoot atau kerja. Itu pun sekadar memenuhi keperluan profesional,” katanya.

Tambahnya, beliau hanya menggunakan produk asas penjagaan diri seperti sunscreen, losyen tangan, serta sedikit bedak dan pelembap bibir, yang disifatkannya sebagai keperluan harian biasa tanpa elemen keterlaluan.

“Kalau keluar pun, saya hanya guna benda-benda basic untuk penjagaan diri. Cuaca sekarang pun panas, jadi sunscreen tu penting. Benda ni bukan soal jantina pun, lelaki dan wanita boleh guna,” ujarnya.

Adami turut mengakui beliau hanya mampu tersenyum apabila ada pihak yang menandai (tag) dan mengaitkan namanya dengan isu berkenaan.

“Tiba-tiba ada yang tag dan kaitkan saya. Saya baca pun senyum sahaja,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Adami menasihatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat menuding jari atau membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

“Pesan saya, jangan cepat menilai. Kita semua kena lebih peka dan adil dalam membincangkan sesuatu isu, jangan berat sebelah,” tambahnya.

Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com
ARTIKEL BERKAITAN
Iklan