KULIM – Seorang pemuda berusia 23 tahun dicekup bersama seorang remaja perempuan bawah umur selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah kedai di Taman Kota Kenari, di sini, pada pagi tadi.
Menurut Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad, serbuan dilakukan pada pukul 9.50 pagi hasil maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu berdua-duaan dalam sebuah bilik dan gagal mengemukakan bukti hubungan sah sebagai suami isteri. Remaja berusia 16 tahun itu bekerja di pusat snuker di Lunas dan baru tiga bulan menyewa di premis berkenaan,” katanya.
Anwar Sharifuddin berkata, siasatan awal mendapati remaja tersebut mengenali pasangannya melalui adik perempuan lelaki itu yang bekerja di tempat sama. Pemuda berkenaan pula baru berhenti kerja kilang dan tinggal bersama ibu bapanya di kampung berhampiran, namun kerap menghantar dan mengambil remaja itu dari tempat kerja.
“Ketika serbuan, remaja perempuan itu memakai baju kelawar, manakala pemuda tersebut memakai baju tidur Doraemon milik remaja perempuan itu. Pasangan itu mengaku bukan suami isteri. Lelaki itu memberi alasan menumpang tidur selepas menghantar pasangannya pulang,” jelas beliau.
Pasangan terbabit dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kulim untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 25(a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana berkhalwat.

