Dalam perlawanan penentuan pingat emas itu, Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras apabila diberikan tentangan sengit oleh pasangan Indonesia yang berada di ranking ke-59 dunia. Namun, pengalaman dan ketenangan jelas memihak kepada gandingan negara untuk melakar kemenangan menerusi pertarungan tiga set 21-16, 19-21, 21-17.
Kemenangan dramatik tersebut sekali gus menoktahkan penantian satu dekad kem badminton negara untuk kembali melihat kilauan emas dalam acara beregu wanita di temasya dwitahunan itu.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas dalam acara berkenaan adalah pada Sukan SEA 2015 di Singapura. Kejayaan pada edisi tersebut disumbangkan oleh gandingan Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho yang menewaskan pasangan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, di pentas final.
Kejayaan Pearly dan Thinaah ini bukan sahaja mengembalikan kegemilangan beregu wanita negara di pentas Asia Tenggara, malah mengukuhkan status mereka sebagai antara pasangan terbaik dunia ketika ini. – MYBERITA








