BANGKOK – Impian skuad bawah 23 (B-23) Malaysia untuk mencipta kejutan mara ke pentas final bola sepak Sukan SEA 2025 berkecai selepas tewas 0-1 kepada tuan rumah Thailand di Stadium Nasional Rajamangala, sebentar tadi.
Gol tunggal kemenangan Thailand dijaringkan Yotsakon Burapha pada minit kelapan hasil sepakan percuma menarik dari jarak 25 meter, membuka laluan kepada pasukan tuan rumah untuk mengawal permainan.
Malaysia berdepan cabaran lebih besar apabila Aiman Yusof Muhammad Nabil dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-15 selepas mengasari pemain Thailand, menyebabkan pasukan Nafuzi Zain terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Pada minit ke-27, skuad negara hampir menyamakan kedudukan apabila Haikal Danish Haizon mengambil sepakan percuma dari luar kotak penalti, namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Thailand, Sorawat Phosaman. Biarpun berdepan kekurangan pemain, Malaysia terus mendominasi permainan dan mencipta beberapa peluang berbahaya.
Faris Danish Mohd Asrul mempunyai peluang keemasan pada minit ke-32, tetapi sekali lagi Phosaman tampil cemerlang untuk mengekalkan jaringan. Separuh masa pertama berakhir dengan Thailand mendahului 1-0.
Babak kedua menyaksikan pertukaran taktikal daripada Nafuzi, termasuk kemasukan Rohisham Haiqal Hashim pada minit ke-69 bagi memperkuatkan barisan serangan. Haqimi Azim pula hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-60, namun percubaannya berjaya diselamatkan. Thailand hampir menambah jaringan pada minit ke-75 melalui rembatan deras Thanakrit Chotmuangpak, tetapi Zulhilmi Sharani tampil melakukan penyelamatan cemerlang.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menamatkan perjalanan Malaysia di separuh akhir. Thailand akan berdepan Vietnam di pentas final pada Khamis ini, manakala Malaysia akan menghadapi Filipina untuk penentuan pingat gangsa pada hari yang sama.

