KUALA LUMPUR – Kejadian serangan menggunakan parang yang mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia 20-an cedera parah mengejutkan penduduk Amara Residensi, Batu Caves, Ahad lalu. Mangsa kini menerima rawatan intensif di Hospital Selayang selepas diserang sekumpulan lelaki tanpa belas kasihan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihak polis bertindak pantas sejurus menerima laporan daripada pegawai perubatan hospital kira-kira pukul 10.35 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menahan empat suspek pada hari kejadian dan mereka direman selama tujuh hari sehingga 21 Disember,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tangkapan susulan dilakukan semalam dan hari ini membabitkan empat lagi lelaki tempatan, berusia antara 21 hingga 33 tahun, yang direman selama enam hari sehingga 22 Disember. Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Muhammad Hakimie Razally di talian 011-33352585 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

