Agong perkukuh hubungan dua hala Malaysia–UAE

ABU DHABI – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) merangkap Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, semalam.

Seri Paduka Baginda bertitah, pertemuan tersebut menjadi landasan penting ke arah kerjasama yang lebih berpandangan jauh dan strategik, sekali gus memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE yang terjalin sekian lama.

Menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, pertemuan berkenaan turut mencerminkan semangat saling menghormati serta keakraban hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Pertemuan ini membentuk asas kerjasama yang lebih menyeluruh dan strategik antara Malaysia dan UAE,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah, pertemuan empat mata bersama Sheikh Mohamed telah menyentuh pelbagai perkara berkepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan keterjaminan makanan.

Selain itu, Seri Paduka Baginda memaklumkan kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan berhubung usaha memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pertahanan antara Malaysia dan UAE.

“Kami juga berkongsi pelbagai perkara lain termasuk melihat usaha untuk mengeratkan lagi kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam bidang pertahanan,” titah Baginda.

Pertemuan Yang di-Pertuan Agong bersama Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan berlangsung hampir satu jam di Istana Qasr Al Bahr, Abu Dhabi, bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda ke UAE yang bermula semalam, atas jemputan khas Presiden UAE itu.

Lawatan berkenaan dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan strategik dan diplomatik antara Malaysia dan UAE, khususnya dalam menghadapi cabaran serta peluang global semasa.

BACA JUGA:  Agong, Raja Permaisuri doa Malaysia terus aman dan makmur pada 2026
Nurazmin Afza
Nurazmin Afza
azminafza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...