KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Februari 2026.
Tarikh tersebut diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.
Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan bagi negeri-negeri di seluruh negara mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Syed Danial mengumumkan tarikh penting itu secara langsung menerusi siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam di Malaysia pada petang Selasa, 17 Februari, bersamaan 29 Syaaban 1447 Hijrah.
Jawatankuasa yang berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara, antaranya di Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka; serta Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Selain itu, beberapa lokasi lain di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Sarawak, dan Sabah turut terlibat, termasuk Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

