KUALA LUMPUR – Orang ramai meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap segelintir penjual di bazar Ramadan yang didakwa tidak prihatin terhadap kualiti makanan dijual, malah ada yang sudah berbau sehingga ‘terputus’ selera untuk menikmatinya.
Menerusi tinjauan di media sosial, pengguna berkongsi pengalaman tidak menyenangkan apabila cara masakan makanan kurang berkualiti, manakala bahan yang digunakan pula dikatakan dipilih sewenang-wenangnya.
Pengguna Thread, Zaimah Taib, meluahkan rasa kesal apabila kuih popia sira dibelinya di sebuah bazar Ramadan di Bandar Baru Bangi ternyata berintikan kentang goreng dan bukannya sayur seperti biasa.
“Hari pertama makanan bazar Ramadan, siapa dah kena scam? Contoh, popia sira inti kentang goreng. Sedih, dah lah suka popia sira, alih-alih dapat kentang goreng. Mujur sira dan kulit popia sedap. Sayang inti letak kentang goreng,” katanya.
Selain itu, seorang pengguna Thread, Natasyaazaini, mendakwa dia membeli menu roti john daging, namun tiada daging di dalamnya.
“Roti john daging, tapi dapat roti john tak ada daging. Ada telur dengan sayur sahaja,” jelasnya, merujuk lokasi bazar berkenaan di Bangi.
Pengguna Thread, Nurulaqeella, berkongsi video mengenai martabak dibeli di sebuah bazar Ramadan di Selayang yang dikatakan berbau masam, berisi kobis berlebihan, berminyak dan ada bahagian masih mentah.
“Suami aku beratur lama nak beli martabak, akhirnya dapat macam ni dengan bau masamnya. Dua keping RM20, masa bungkus suami tak nampak dia bungkus. Memang hidup kau tak berkat lah jual macam ni. Terus buang dalam tong sampah. Ya Allah dari pukul 11 pagi teringin nak makan martabak, jahat lah,” luahnya.
Sementara itu, pengguna Thread Shareeeeeeesaf pula meluahkan kekecewaan terhadap cucur udang yang dibelinya di bazar Ramadan di Kelana Jaya, kerana tidak masak sepenuhnya di bahagian dalam dan kurang rasa.
Keadaan ini menimbulkan tanda tanya mengenai pematuhan penjual bazar terhadap standard kebersihan dan kualiti makanan. Orang ramai berharap pihak berkuasa tempatan dapat memantau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan selamat dan berkualiti untuk semua.

