KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menunaikan bayaran zakat harta berjumlah RM10 juta bagi tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di Facebook rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan, turut dimuat naik beberapa keping gambar ketika Seri Paduka Baginda melafazkan pembayaran zakat harta.
Cek zakat tersebut diserahkan Seri Paduka Baginda kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Mohd Radzi Mohd Amin di Istana Pelangi, Johor Bahru.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Nasri Md Ali.
Tindakan Seri Paduka Baginda itu menjadi teladan kepada umat Islam dalam menunaikan kewajipan zakat harta bagi membantu golongan yang memerlukan dan memacu pembangunan agama dan masyarakat. -MYBERITA

