Diesel lonjak RM5.52, RON97 cecah RM5.15, kerajaan kekalkan subsidi RON95

KUALA LUMPUR – Harga runcit bahan api di Malaysia mencatatkan kenaikan ketara apabila petrol RON95, RON97 dan diesel masing-masing meningkat kepada RM3.87, RM5.15 dan RM5.52 seliter bermula tengah malam ini.

Walau bagaimanapun, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter. Selain itu, harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga kekal pada RM2.15 seliter bagi melindungi pengguna di wilayah berkenaan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kenaikan ini didorong oleh konflik berpanjangan di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak mentah global melonjak lebih 40 peratus sehingga melepasi AS$100 setong. Situasi tersebut turut meningkatkan risiko gangguan bekalan minyak dunia.

Menurut kenyataan itu, pelarasan harga dibuat selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM) bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026. Harga baharu melibatkan RON97 pada RM5.15 seliter, RON95 tanpa subsidi RM3.87 seliter dan diesel di Semenanjung RM5.52 seliter.

Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk terus melindungi kebajikan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu. Meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, harga bahan api domestik masih dipengaruhi oleh pasaran antarabangsa kerana sebahagian bekalan diperoleh dari luar negara.

Seiring aspirasi Ekonomi MADANI, kerajaan akan memastikan langkah perlindungan terus diperkukuh, termasuk mengekalkan subsidi bahan api bagi golongan layak. Melalui program BUDI95, pengguna yang memenuhi syarat masih menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel untuk sektor pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meningkatkan bantuan di bawah program BUDI Individu serta BUDI Agri-Komoditi kepada RM300 sebulan bermula Mac 2026, berbanding RM200 sebelum ini.

BACA JUGA:  Wanita Indonesia rayu kerajaan, mohon BUDI95

Selain itu, kerajaan bercadang memperkenalkan kawalan pembelian diesel khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengurangkan risiko ketirisan subsidi.

Langkah pemantauan dan penguatkuasaan juga dipertingkatkan, termasuk larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing serta sekatan pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas.

Kerajaan menegaskan bahawa segala langkah ini bertujuan memastikan bekalan bahan api kekal stabil di samping melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. – MYBERITA

Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...