KUALA LUMPUR – Sikap segelintir anak muda yang ‘normalisasikan’ pelbagai peraturan pelik ketika menerima tetamu pada musim raya mengundang perhatian dan perdebatan netizen, khususnya golongan Milenial, di media sosial semalam.
Menerusi hantaran di media sosial oleh pengguna @znrafnd, golongan muda ditegur supaya berhenti mencipta alasan dan kembali mengutamakan adab dalam menyambut tetamu yang berkunjung ke rumah.
“Kalau Gen Z sibuk dengan jenis pantang larang ‘tolong normalisasi’, mari akak Gen Milenial nak tegur. Tolong normalisasikan bila tetamu datang keluar bilik, salam, dan tolong ibu bapa dekat dapur.
“Tak ada siapa nak tengok hasil kau mekap adik, orang datang ziarah nak jumpa ibu bapa kamu sahaja. Esok salah seorang dah tiada, tetamu ni dah tak nak datang menziarah,” tulisnya.
Teguran itu mendapat sokongan ramai pengguna media sosial, yang mendakwa segelintir Gen Z kini lebih gemar berkurung dalam bilik sambil menghadap telefon bimbit, tanpa mengambil peduli tanggungjawab terhadap keluarga dan tetamu.
Seorang pengguna, Aizaamizz, menambah bahawa fenomena ini berpunca daripada keterlaluan menumpukan perhatian kepada kandungan media sosial sehingga mengabaikan nilai-nilai tradisi dan adab di rumah.
Netizen lain pula menasihatkan supaya generasi muda kembali menitikberatkan budaya hormat dan menyantuni tetamu, khususnya pada musim perayaan. – MYBERITA

