Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sementara menunggu waktu peperiksaan sebelum ia tiba-tiba pecah.
“Ketika itu mangsa sedang berbual dengan rakan-rakannya sebelum penutup perigi tersebut runtuh,” katanya.
Menurut beliau, mangsa jatuh ke dalam perigi yang mempunyai air pada paras pinggang, manakala usaha awal seorang tukang kebun sekolah untuk menyelamatkannya gagal kerana keadaan ruang yang terhad dan kekurangan udara.
“Mangsa masih dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan di kepala. Dia dikatakan berzikir sepanjang kira-kira satu jam berada di dalam perigi itu bagi menenangkan diri sementara menunggu bantuan,” katanya.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi kemudian menggunakan tali dan tangga untuk mengeluarkan mangsa sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu bagi menerima rawatan lanjut. – MYBERITA








