Remaja hilang dekat Bukit Changkat Asa ditemui meninggal dunia lepas empat hari SAR

HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan yang dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Tanjung Malim sejak Sabtu lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mangsa ditemukan kira-kira jam 11.58 pagi oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) di kawasan kebun berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba selepas operasi SAR memasuki hari keempat.

“Mangsa ditemukan oleh Pasukan STORM di kawasan landai dalam keadaan terlentang tanpa kesan kecederaan yang dapat dilihat serta sempurna tanpa kesan serangan haiwan liar,” katanya.

Menurutnya lagi, operasi SAR yang bermula seawal jam 9 pagi pada hari kejadian melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit K9 JBPM, bomba sukarela, pejabat hutan, pejabat tanah, malim gunung serta sukarelawan.

Mayat mangsa kemudian dibawa keluar sekitar jam 1.38 tengah hari sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Kronologi Kejadian

23 Mei 2026

Pada jam 8.40 pagi, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, dilaporkan menyertai aktiviti pendakian di Bukit Changkat Asa bersama ahli keluarga termasuk ibu, adik, ibu saudara dan dua sepupu.

“Ketika turun dari bukit kira-kira pukul 10.50 pagi, semua pendaki berhenti berehat sebelum mangsa meminta kunci kereta daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu. Mangsa dipercayai mahu berehat di dalam kenderaan kerana tidak tahan panas dan penat,” ujar Asisten Komisioner Ibrahim Husin.

Pada jam 11.35 pagi, ibu mangsa tiba di kawasan parkir namun mendapati Nur Izzati tiada di lokasi, sekali gus disyaki hilang ketika menuruni bukit secara bersendirian.

BACA JUGA:  Rakyat teruja, Panglima TUDM terajui persembahan udara merdeka 2025

Laporan kehilangan kemudian diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekitar jam 1.26 tengah hari, sebelum operasi SAR digerakkan di kawasan terakhir mangsa dilihat.

24 Mei 2026

Operasi SAR hari kedua diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi. Pencarian diperluaskan kepada sekitar 0.43 kilometer persegi dengan bantuan dron pengesan haba dan Unit K9 JBPM. Ahli keluarga turut berada di lokasi bagi membantu usaha pencarian, namun mangsa masih gagal ditemukan.

25 Mei 2026

Operasi memasuki hari ketiga dengan radius pencarian diperluaskan kepada sekitar 0.65 kilometer persegi. Seramai lebih 90 anggota pelbagai agensi terlibat dalam teknik ‘sweeping’ di beberapa sektor pencarian. Beberapa petunjuk awal seperti kesan tapak kasut, selipar dan botol air ditemui, namun disahkan tidak mempunyai kaitan dengan mangsa.

26 Mei 2026

Operasi SAR hari keempat diteruskan bermula jam 9 pagi sebelum pasukan STORM berjaya menemukan mangsa sekitar jam 11.58 pagi di kawasan kebun berhampiran lokasi kejadian.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di kawasan landai tanpa sebarang kesan kecederaan luaran yang jelas, sekali gus menjadikan penemuan itu sebagai kejutan kepada pasukan operasi selepas hampir empat hari pencarian intensif dijalankan.

Operasi kemudian ditamatkan selepas identiti mangsa disahkan dan mayat dibawa keluar untuk tindakan lanjut.

Jenazah Nur Izzati dijangka dibawa pulang ke Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak untuk urusan pengebumian selepas selesai proses bedah siasat.

Sumaiyah Safiah
Sumaiyah Safiah
saf@portalmyberita.com

TRENDING

Tiada unsur jenayah dalam tragedi Pelantar Sepat, punca sebenar masih disiasat – Polis

KUALA TERENGGANU – Insiden kemalangan di pelantar minyak Sepat...

31,600 jemaah haji Malaysia mula bergerak ke Arafah

MAKKAH – Suasana penuh tertib dan berdisiplin mewarnai pergerakan...

Arif Aiman tamatkan zaman bujang, sah bergelar suami kepada Aliah Natasha

JOHOR BAHRU - Pemain sayap Arif Aiman Hanapi kini...

JPJ tangguh sementara urusan tukar hak milik kenderaan ‘online’ mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan...

Linda Jasmine, Ratu tersingkir minggu keenam TTMM2

SHAH ALAM - Perjalanan pasangan Linda Jasmine dan Ratu...