KUALA LUMPUR – Pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang dikenali ramai kerana layanan mesra dan dedikasinya menyantuni jemaah haji Malaysia, Hafeez Albukhary Zulkefly, disahkan meninggal dunia akibat kanser kolon.
Pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi perkongsian di media sosial pada Khamis, sekali gus mengundang rasa hiba dalam kalangan keluarga, rakan sekerja serta orang ramai yang mengikuti perjalanan hidup dan perjuangannya melawan penyakit itu.
Allahyarham sebelum ini mendapat perhatian ramai menerusi perkongsian video serta pengalaman bertugas mengiringi penerbangan jemaah haji dan umrah ke Tanah Suci, selain dikenali sebagai seorang pramugara yang sentiasa mengutamakan layanan penuh ihsan terhadap penumpang.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan menghidap kanser kolon tahap empat, namun tetap meneruskan tanggungjawab sebagai pramugara selagi keadaan kesihatannya mengizinkan, termasuk menyantuni jemaah haji pada musim haji yang lalu.
Keadaan kesihatannya bagaimanapun semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini sebelum disahkan kritikal dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak untuk bersama keluarga.
Pemergian Allahyarham turut dibanjiri ucapan takziah dan doa daripada warga maya yang mengenang jasa serta keperibadiannya yang disifatkan sentiasa merendah diri, penyayang dan ikhlas membantu jemaah sepanjang bertugas.
Salam takziah diucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.



