JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) terus mengukuhkan kedudukan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 apabila secara rasmi mendahului keputusan dengan memenangi 22 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diumumkan setakat ini.
Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyaksikan BN mengekalkan penguasaan di beberapa kubu tradisi selain merampas beberapa kerusi penting, sekali gus meletakkan gabungan itu di landasan kukuh untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya momentum kemenangan berterusan.
Antara kerusi yang dimenangi BN ialah Buloh Kasap, Bekok, Bukit Kepong, Bukit Pasir, Tangkak, Bukit Naning, Yong Peng, Semarang, Parit Raja, Rengit, Machap, Layang-Layang, Paloh, Kahang, Panti, Sedili, Johor Lama, Penawar, Tanjung Surat, Benut, Pekan Nanas dan Kukup.
Perkembangan itu turut memperlihatkan BN semakin menghampiri jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri, dengan proses pengiraan undi bagi baki kerusi masih diteruskan.
SPR dijangka akan terus mengumumkan keputusan rasmi secara berperingkat sehingga semua 56 kerusi DUN selesai dikira, manakala tumpuan kini terarah kepada beberapa kerusi yang masih menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti bertanding.
Berita selanjutnya menyusul.

