Menurutnya, UMNO dan BN merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor, jentera parti serta pasukan penerangan dan komunikasi strategik yang bertungkus-lumus sepanjang kempen dengan penuh disiplin, tersusun dan berhemah.
“BN memilih pendekatan kempen positif kerana rakyat mahukan penyelesaian, bukannya kebencian. Pendekatan ini juga selari dengan algoritma media sosial hari ini yang lebih mengangkat kandungan positif berbanding kandungan negatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Azalina berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut mengubah landskap politik apabila pihak yang lebih pantas memahami data, sentimen dan algoritma mempunyai kelebihan dalam menyusun strategi untuk memenangi hati rakyat.
Beliau berkata, penggunaan AIRA, chatbot AI BN, turut membantu pengundi mendapatkan maklumat asas berkaitan calon, manifesto dan tawaran yang dibawa gabungan itu sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas kepimpinan yang disifatkan jelas serta tersusun sehingga membawa kepada kemenangan tersebut.
“Keputusan ini membawa satu isyarat yang nyata bahawa Barisan Nasional bukan kekuatan yang boleh dipandang ringan. Kita tahu mengurus, kita tahu mentadbir dan kita tahu menyusun kemenangan.
“Namun kemenangan ini bukan untuk dibanggakan secara berlebihan. Ia adalah amanah untuk kita bekerja dengan lebih baik, lebih kuat dan lebih bersama, termasuk di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Bangsa Johor atas kepercayaan yang diberikan dan menegaskan kini adalah masanya untuk BN terus berkhidmat kepada rakyat berlandaskan semangat Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat. – MYBERITA









