Khamis, 16 Julai 2026
spot_img
Main Menu MYBERITA
Gaya HidupLarian 200km Syed Saddiq sasar kutip RM200,000 demi kebajikan penduduk Muar

Larian 200km Syed Saddiq sasar kutip RM200,000 demi kebajikan penduduk Muar

MUAR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi tampil dengan pendekatan luar biasa apabila memulakan Larian Kesyukuran Muar, satu misi larian amal sejauh hampir 200 kilometer yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 untuk membantu golongan memerlukan di kawasan Parlimen Muar.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 19 Julai itu bukan sekadar cabaran fizikal, malah menjadi platform mengumpul sumbangan orang ramai bagi membiayai pelbagai inisiatif kebajikan, khususnya untuk keluarga berpendapatan rendah dan pelajar yang memerlukan.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook rasminya, Syed Saddiq berkata, dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan kepada dua keperluan utama iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad bagi membantu pelajar mendapatkan akses kepada pembelajaran digital.

“Sepanjang tempoh tersebut, saya menerima begitu banyak doa, sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan saya serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar,” katanya.

Larian berkenaan bermula di Istana Kehakiman, Putrajaya sebelum dijadual menamatkan perjalanan di Laman Maharani, Muar pada 19 Julai.

Beliau turut mengajak orang ramai menyertai usaha tersebut dengan menyalurkan sumbangan menerusi laman rasmi Larian Kesyukuran Muar bagi memastikan sasaran kutipan RM200,000 dapat dicapai.

Sejak 2020, Syed Saddiq dikenali aktif melaksanakan pelbagai kempen kutipan dana secara kreatif bagi membiayai program kebajikan penduduk Muar.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah Botak Challenge, yang berjaya mengumpulkan lebih RM383,000, melepasi sasaran asal.

Pada November tahun lalu pula, beliau menyertai cabaran Ironman Malaysia dengan sasaran menamatkan perlumbaan dalam tempoh kurang 13 jam.

Kejayaan itu membolehkan beliau memperoleh tajaan berjumlah RM1 juta yang disalurkan sepenuhnya bagi membiayai pembelian komputer riba dan pelbagai bantuan kebajikan untuk penduduk Muar.

Larian Kesyukuran Muar dilihat meneruskan pendekatan unik Ahli Parlimen itu yang menggunakan cabaran sukan sebagai medium menggerakkan sumbangan masyarakat, sekali gus memperluaskan bantuan kepada lebih ramai penerima di kawasan Parlimennya.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-