Khamis, 20 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
SukanPulau Pinang tamat kemarau 28 tahun, kuartet bawah 19 cipta rekod SUKMA

Pulau Pinang tamat kemarau 28 tahun, kuartet bawah 19 cipta rekod SUKMA

SERDANG – Pulau Pinang akhirnya menamatkan penantian 28 tahun untuk meraih pingat emas acara 4×400 meter (m) lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2026, malah kejayaan itu hadir dengan rekod baharu kejohanan.

Kuartet muda negeri itu yang dibarisi Y. Denishwar, K. Venket Prabu, Muhamad Farhan Mohd Isrulnizam dan Muhammad Sayyid Amin Roslan mempamerkan larian bertenaga untuk merekodkan masa 3 minit 11.840 saat (s) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Catatan berkenaan bukan sahaja mengesahkan emas buat Pulau Pinang, malah memadam rekod Sukma sebelum ini iaitu 3:12.35s milik kuartet Johor yang dicipta pada Sukma Sarawak 2024.

Lebih istimewa, kejayaan itu hadir daripada kuartet bawah 19 tahun yang mengakui tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum kejohanan, namun mampu membentuk keserasian ketika berada di trek.

Pelari Pulau Pinang, Muhammad Sayyid Amin Roslan berkata, keyakinan dan semangat untuk memberikan segala-galanya pada perlumbaan terakhir menjadi antara pencetus kejayaan mereka.

“Saya nak ucapkan Alhamdulillah kerana kalau bukan kerana rezeki yang Allah beri kepada kami hari ini, kami tidak akan menang dan tidak akan mencipta rekod. Ini semua rezeki daripada Allah dan kami sangat bersyukur.

“Ini kali pertama kami berlari sebagai satu pasukan. Malah kami tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum ini, tetapi hari ini kami dapat mencipta sejarah untuk Pulau Pinang.

“Sebelum kejohanan bermula, saya cakap kepada mereka, ini acara terakhir. Jadi buat apa sahaja yang boleh,” katanya selepas perlumbaan.

Menurut Sayyid, setiap anggota kuartet memberikan komitmen maksimum dengan catatan sekitar 47 saat bagi memastikan Pulau Pinang mampu menamatkan perlumbaan di hadapan.

“Ini adalah masa kita. Jangan takut kerana kita semua sudah berlatih dan mahu buktikan kemampuan. Setiap daripada kami lakukan sekitar 47 saat dan saya bangga dengan rakan sepasukan saya,” katanya.

Kemenangan itu turut mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila Pulau Pinang kali terakhir memenangi emas 4x400m lelaki pada Sukma 1998 di Selangor, sebelum kembali ke podium tertinggi dalam edisi kali ini.

Selangor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas merekodkan 3:13.520s, manakala Kedah meraih gangsa dengan catatan 3:14.090s.

Sayyid menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa Pulau Pinang mempunyai kelompok pelari muda yang berpotensi untuk muncul sebagai kuasa baharu dalam acara berganti-ganti.

“Ini tanda yang sangat baik kerana sebelum ini Pulau Pinang tidak pernah memenangi acara berganti-ganti di Sukma mahupun MSSM. Hari ini kami turun sebagai satu pasukan dan mencipta sejarah.

“Saya percaya satu hari nanti Pulau Pinang boleh menjadi kuasa baharu. Kami mahu buktikan bahawa Pulau Pinang juga mempunyai kemampuan dan tidak boleh dipandang rendah,” katanya.

Beliau turut berharap kejayaan itu menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi baharu pelari Pulau Pinang yang mampu bersaing di pentas lebih besar.

“Insya-Allah, kalau diberikan rezeki, kami akan kembali pada Sukma akan datang. Ini baru permulaan dan kami mahu lebih banyak kejayaan untuk Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Terengganu mengungguli acara 4x400m wanita selepas mencatat masa 3:51.35s.

Kuartet Terengganu yang menampilkan Nur Aira Rusdi, Nur Aliya Najhah Muda, Nur Farishah Ardeana Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira menewaskan Johor yang meraih perak dengan 3:55.29s, manakala Sabah membawa pulang gangsa selepas mencatat 4:01.28s.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-