Selasa, 1 September 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
PendidikanRekod 10 tahun lebur, Jing Xuan hadiah emas buat Universiti Sunway

Rekod 10 tahun lebur, Jing Xuan hadiah emas buat Universiti Sunway

KUALA LUMPUR – Rekod rejam lembing wanita Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) yang bertahan selama sedekad akhirnya tumbang selepas atlet negara, Ng Jing Xuan melakukan balingan sejauh 46.92 meter (m) untuk menghadiahkan pingat emas kepada Universiti Sunway pada SUKIPT 2026.

Atlet berusia 22 tahun itu mempamerkan dominasi dalam saingan akhir di Arena UM, Universiti Malaya (UM), Isnin, sekali gus memadam rekod lama 44.41m milik Nur Fatin Adibah Suharman dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dicatat pada SUKIPT 2016.

Kejayaan tersebut turut menjadi pencapaian istimewa buat Jing Xuan dan kontinjen Universiti Sunway ketika negara meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Bagaimanapun, pemegang rekod kebangsaan itu mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasinya kerana turun ke gelanggang dengan misi lebih besar untuk memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri.

“Untuk SUKIPT kali ini, sasaran saya adalah memberikan yang terbaik. Memang ada sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan, tetapi hari ini belum ada rezeki.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dapat mencipta rekod baharu SUKIPT,” katanya.

Menurut Jing Xuan, persiapan selama kira-kira sebulan selepas pulang daripada Kejohanan Olahraga Asia Bawah 23 Tahun membantu meningkatkan tahap kecergasannya sebelum beraksi di SUKIPT 2026.

Namun, beliau percaya masih mempunyai kemampuan untuk menghasilkan balingan lebih jauh berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika sesi latihan.

Perubahan waktu pertandingan pada saat akhir daripada sesi petang kepada pagi juga sedikit sebanyak mempengaruhi rentak persembahannya.

“Saya rasa masih boleh melakukan catatan lebih jauh berdasarkan prestasi ketika latihan sebelum ini. Tetapi kami terima keputusan ini dan akan terus memperbaiki kelemahan,” katanya.

Dalam saingan akhir itu, Jing Xuan muncul juara dengan kelebihan lebih 10m berbanding pencabar terdekatnya.

Pingat perak menjadi milik Farisha Athirah Wai dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas melakukan balingan 36.21m, manakala Tai Yu Tian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) meraih gangsa dengan catatan 32.74m.

Selepas kejayaan di SUKIPT, Jing Xuan kini mengalihkan fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) pada Disember ini sebelum memburu cabaran lebih besar pada Sukan SEA tahun depan.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-