KUALA LUMPUR – Gangguan perjalanan antara Malaysia dan Indonesia berterusan apabila lapan penerbangan Batik Air yang menghubungkan Kuala Lumpur, Subang dan Jakarta dibatalkan hari ini susulan aktiviti gunung berapi Anak Krakatau yang masih berterusan.
Pembatalan itu melibatkan empat penerbangan dari Malaysia ke Jakarta serta empat penerbangan dari Jakarta ke Kuala Lumpur dan Subang yang dijadualkan beroperasi antara jam 6.45 pagi hingga 5.50 petang.
Batik Air dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan meneruskan pembatalan penerbangan dibuat berdasarkan penilaian operasi terkini serta penyelarasan berterusan bersama pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang berkaitan.
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru kekal menjadi keutamaan tertinggi Batik Air,” menurut kenyataan itu.
Penerbangan terjejas ialah OD398 Kuala Lumpur-Jakarta pada 6.45 pagi, OD399 Jakarta-Kuala Lumpur (9 pagi), OD346 Subang-Jakarta (9.30 pagi) dan OD347 Jakarta-Subang (11.45 pagi).
Turut dibatalkan ialah OD388 Kuala Lumpur-Jakarta pada 11.45 pagi, OD389 Jakarta-Kuala Lumpur (1.50 petang), OD390 Kuala Lumpur-Jakarta (3.45 petang) dan OD391 Jakarta-Kuala Lumpur (5.50 petang).
Menurut syarikat penerbangan itu, penumpang yang terjejas diberikan pilihan untuk menjadualkan semula perjalanan kepada penerbangan Batik Air seterusnya yang tersedia, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk, atau memohon bayaran balik.
Penumpang disaran menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Batik Air atau saluran tempahan masing-masing bagi mendapatkan bantuan berkaitan perubahan perjalanan.
Batik Air berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan aktiviti Anak Krakatau dan sebarang perubahan terhadap operasi penerbangan akan dimaklumkan menerusi laman web rasmi serta saluran media sosialnya.
Penumpang terjejas juga akan menerima pemberitahuan secara langsung menerusi butiran hubungan yang didaftarkan ketika membuat tempahan.
Syarikat penerbangan itu turut menghargai pemahaman dan kerjasama penumpang sepanjang gangguan berkenaan ketika aspek keselamatan operasi penerbangan terus diberi keutamaan.
