Menurutnya, mesej yang disampaikan Ahmad Zahid memberi keyakinan bahawa usaha menyatukan umat Islam boleh direalisasikan.
“Kita ucapkan tahniah kepada Zahid.
“Ucapan yang amat meyakinkan kita bahawa penyatuan umat Islam akan berjaya, insya-Allah. Dan kita sedang bersedia untuk ke Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.
Kehadiran Nik Mohamad Abduh bersama kepimpinan PAS pada perhimpunan parti itu turut mencuri perhatian ketika hubungan dua parti Melayu berkenaan kembali menjadi tumpuan.
Mengulas perkara itu, beliau melihat kunjungan antara pemimpin kedua-dua parti sebagai perkembangan yang baik dalam usaha merapatkan hubungan.
Katanya, PAS sebelum ini turut menghargai kehadiran wakil UMNO pada muktamar parti berkenaan dan percaya sentimen sama dikongsi UMNO terhadap kehadiran mereka pada PAU kali ini.
“Sebagaimana kita amat berterima kasih kepada kehadiran UMNO di muktamar kita. Kita yakin bahawa UMNO juga gembira kita hadir ke sini,” katanya.
Perkembangan itu hadir ketika wacana mengenai kerjasama politik parti-parti Melayu kembali mendapat perhatian, khususnya berhubung usaha mencari titik persamaan bagi memperkukuh penyatuan Melayu dan umat Islam.
Kenyataan Nik Mohamad Abduh juga memberi isyarat bahawa PAS melihat ruang kerjasama dengan UMNO masih terbuka, meskipun bentuk dan hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua parti itu belum diperincikan. – MYBERITA









