MELAKA – Seorang juru tari berusia 20 tahun berdepan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki bawah umur yang didakwa berlaku ketika mangsa sedang tidur selepas menjalani latihan tarian bersamanya.
- Badrulsaufi Wahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer…
- Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh dua remaja lelaki berusia 14 tahun 10 bulan dan 15 tahun bagi maksud seksual dalam beberapa kejadian antara penghujung…
- Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 3.15 pagi di sebuah rumah di Krubong serta sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah.
- Badrulsaufi didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Badrulsaufi Wahid bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyentuh dua remaja lelaki berusia 14 tahun 10 bulan dan 15 tahun bagi maksud seksual dalam beberapa kejadian antara penghujung Disember 2025 hingga 13 September lalu.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara pukul 12.30 tengah malam hingga 3.15 pagi di sebuah rumah di Krubong serta sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah.
Difahamkan, kejadian didakwa berlaku ketika mangsa sedang tidur selepas menjalani latihan tarian bersama tertuduh.
Badrulsaufi didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin mencadangkan jaminan RM40,000 berserta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira usia anak guamnya serta pekerjaannya sebagai juru tari dan jurusolek.
Menurut pihak pembelaan, tertuduh yang menetap di Krubong akan memberikan kerjasama dan hadir pada prosiding mahkamah seterusnya, manakala jaminan akan dibuat oleh ibunya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi kesemua empat pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 20 Oktober 2026 untuk sebutan semula kes.
