Selasa | 22/09/2026 | 8:20:42 pm
HomeDuniaCNN disekat, rangkaian TV utama AS 'boikot' liputan Trump

CNN disekat, rangkaian TV utama AS ‘boikot’ liputan Trump

WASHINGTON – Pertikaian antara pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan beberapa organisasi media memasuki fasa baharu apabila rangkaian televisyen utama negara itu menggantung liputan video secara berkumpulan atau ‘pool’ terhadap acara presiden.

RINGKASAN BERITA
  • Keputusan itu dibuat selepas CNN dihalang daripada menjalankan tugasan gilirannya dalam kumpulan media Rumah Putih susulan tindakan pentadbiran Trump menyekat akses CNN, MS NOW…
  • ABC, CBS, CNN, Fox News dan NBC yang membentuk kumpulan utama televisyen Rumah Putih kemudian bersetuju menghentikan liputan ‘pool’ acara presiden buat sementara waktu.
  • Bryan Boughton, Ketua Biro Fox News Washington yang juga pengerusi giliran kumpulan televisyen berkenaan memaklumkan tiada pasukan pengganti akan disediakan bagi tugasan tersebut.
  • Tindakan itu bermakna acara tertentu melibatkan Trump tidak lagi mempunyai rakaman video bebas yang biasanya dirakam oleh sebuah rangkaian sebelum dikongsi kepada organisasi berita…
Ringkasan automatik berdasarkan laporan MYBERITA.

Keputusan itu dibuat selepas CNN dihalang daripada menjalankan tugasan gilirannya dalam kumpulan media Rumah Putih susulan tindakan pentadbiran Trump menyekat akses CNN, MS NOW dan Politico.

ABC, CBS, CNN, Fox News dan NBC yang membentuk kumpulan utama televisyen Rumah Putih kemudian bersetuju menghentikan liputan ‘pool’ acara presiden buat sementara waktu.

Bryan Boughton, Ketua Biro Fox News Washington yang juga pengerusi giliran kumpulan televisyen berkenaan memaklumkan tiada pasukan pengganti akan disediakan bagi tugasan tersebut.

Tindakan itu bermakna acara tertentu melibatkan Trump tidak lagi mempunyai rakaman video bebas yang biasanya dirakam oleh sebuah rangkaian sebelum dikongsi kepada organisasi berita lain.

Dalam perkembangan sama, Rumah Putih mengetengahkan saluran video dalam taliannya yang dikenali sebagai ‘Trump TV’, ketika liputan oleh rangkaian televisyen berkenaan dihentikan.

Saluran itu memaparkan kandungan berkaitan Trump dan pentadbirannya secara langsung serta rakaman terdahulu.

Pertikaian bermula selepas Trump mengumumkan CNN, MS NOW dan Politico tidak lagi dibenarkan memasuki Rumah Putih dengan mendakwa organisasi berkenaan menghasilkan laporan yang disifatkannya sebagai ‘fake news’.

Tiga organisasi media terbabit kemudiannya memfailkan saman di Mahkamah Daerah AS di Washington bagi mencabar sekatan tersebut.

CNN, MS NOW dan Politico mendakwa tindakan menarik akses wartawan mereka melanggar perlindungan kebebasan bersuara dan media di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS serta hak proses sewajarnya di bawah Pindaan Kelima.

Mereka turut memohon perintah sekatan sementara bagi membolehkan wartawan masing-masing kembali mendapat akses ke Rumah Putih sementara kes berkenaan diputuskan mahkamah.

Rumah Putih pula mempertahankan tindakannya, manakala Trump menegaskan pentadbirannya bukan menyerang kebebasan media tetapi mengambil tindakan terhadap apa yang disifatkannya sebagai laporan palsu.

Sistem ‘press pool’ digunakan kerana ruang untuk wartawan mengikuti presiden dalam sesetengah acara adalah terhad. Organisasi media yang bertugas secara bergilir akan merakam acara dan berkongsi bahan berkenaan kepada media lain.

Penggantungan liputan kali ini menyebabkan sebahagian acara Trump bergantung kepada rakaman yang disediakan sendiri oleh Rumah Putih sekiranya tiada rakaman bebas daripada organisasi media lain.

Pertikaian berhubung akses itu kini turut beralih ke mahkamah, dengan keputusan kes berkenaan berpotensi menentukan bagaimana akses organisasi media ke Rumah Putih dikendalikan dalam situasi serupa. – The Guardian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 22 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
TERKINI
Baru sahaja
|