KUALA LUMPUR – Penyanyi Najwa Latif meluahkan rasa syukur buat suaminya, Akwa Arifin yang banyak membantu dirinya mengharungi kehidupan sebagai ibu kepada cahaya mata mereka, Medina.
Menerusi perkongsian di Instagram Story, Najwa berkongsi bagaimana Akwa bukan sahaja mengambil berat mengenai anak mereka, malah sentiasa berusaha meringankan urusan rumah tangga serta memberi sokongan kepadanya.
Najwa berkata, suaminya memainkan pelbagai peranan dalam memastikan keperluannya dan Medina sentiasa terjaga.
“Dia lah nurse, dialah cleaner, dia lah yang explore and study pasal breast pump punya dunia, dia lah tukang urut, dia lah therapist,” ujarnya.
Menurut Najwa, Akwa turut menjadi tempat untuknya bergantung ketika melalui saat-saat sukar, termasuk ketika emosinya tidak begitu stabil.
Dia berkata, suaminya sentiasa cuba membuatnya ketawa walaupun dirinya sedang menangis.
“Sentiasa cuba buat saya gelak walaupun saya tengah menangis teresak-esak,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Najwa turut meluahkan rasa bangga melihat Akwa menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Katanya, Akwa sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan mengenai peranannya sebagai bapa, namun kini membuktikan kebimbangan itu tidak menghalangnya menjadi bapa yang baik.
“Akwa dulu selalu cakap dia takut nak jadi bapa orang, but guess what? He’s so good at being a father. Power be,” jelas Najwa.
Najwa turut menghargai sokongan suaminya dalam membuatkan dirinya lebih yakin terhadap diri sendiri, terutama ketika berdepan pandangan negatif daripada orang lain.
“Sentiasa ingatkan saya cantik, that now when people say I’m not, it doesn’t hurt anymore,” tulisnya lagi.
Mengakhiri perkongsian itu, Najwa menyifatkan Akwa sebagai insan yang sangat bermakna buat dirinya dan anak mereka.
“Thank you Akwa for loving Medina and me. You’re an angel in human form. Thank you for being the best, sayang,” luahnya. – MYBERITA
