Khamis | 24/09/2026 | 6:54:20 pm
HomeGaya Hidup95 bas percuma mudahkan peminat ke Litar Sepang, beroperasi 2 hingga 4...

95 bas percuma mudahkan peminat ke Litar Sepang, beroperasi 2 hingga 4 Oktober

SEPANG – Pengunjung acara perlumbaan antarabangsa di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini boleh memanfaatkan perkhidmatan bas perantara khas secara percuma yang disediakan Rapid KL.

Sebanyak 95 bas akan digerakkan menerusi perkhidmatan ulang-alik dari beberapa lokasi tumpuan, sekali gus menawarkan pilihan pengangkutan awam kepada pengunjung untuk ke kawasan litar sepanjang acara berlangsung.

Lokasi perkhidmatan itu merangkumi Hub Bas Aras 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Hub Bas Mitsui KLIA serta De-Village di Persiaran Millenia 2, Bandar Baru Enstek.

Selain perjalanan ke SIC, Rapid KL turut menyediakan bas perantara dalam kawasan litar bagi memudahkan pergerakan pengunjung antara lokasi utama sepanjang acara.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn. Bhd., Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, kemudahan berkenaan disediakan menerusi kerjasama dengan SIC sebagai sebahagian usaha menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

“Rapid KL berbangga dapat bekerjasama dalam menjayakan acara ini dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membantu memudahkan pergerakan pengunjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, penganjuran perlumbaan berprestij antarabangsa di SIC merupakan antara acara yang dinantikan peminat sukan permotoran tempatan, selain membuka ruang untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Rapid KL memaklumkan semua bas yang digunakan akan menjalani pemeriksaan keselamatan dan dipantau secara berterusan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Pasukan petugas turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik sekitar kawasan acara untuk membantu pengunjung serta mengawal pergerakan penumpang.

Pengunjung dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi arahan petugas dan beratur ketika menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Maklumat lanjut mengenai laluan serta jadual operasi bas perantara boleh diperoleh menerusi laman web dan saluran media sosial rasmi Rapid KL. – MYBERITA

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Khamis, 24 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|