Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan sebelum cecair berkenaan dituang di ruang solat.
“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis kini giat mengesan suspek selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir keseluruhan ruang solat lelaki di tingkat bawah masjid berkenaan telah menjalani proses sertu selepas dikotori cecair yang dipercayai mengandungi campuran najis binatang.
Kerja pembersihan dan sertu sedang dilaksanakan secara berperingkat, manakala ruang solat di tingkat dua masih boleh digunakan seperti biasa.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau mengenali suspek supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di talian 09-725 6226. – utusan melayu









