Menurut Siti Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohd Sharifuddin, kejayaan menembusi senarai Top 5 daripada lebih seribu penyertaan sudah dianggap kemenangan peribadi selepas sekian lama berkecimpung dalam industri seni.
“Alhamdulillah, saya juga tak sangka tercalon dan rasa macam dalam mimpi. Saya bersyukur sebab tercalon dalam Top 5 dari seribu lebih penyertaan pun sudah macam menang sebab bukan mudah bila membabitkan barisan juri profesional yang menilai dan buat keputusan.
“Saya serahkan soal menang atau kalah itu kepada rezeki dan ketentuan Allah SWT. Jika bukan saya yang menang, saya tetap pulang dengan hati yang penuh syukur kerana diberi peluang untuk berdiri sebaris dengan mereka yang hebat dalam industri seni,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam kategori berkenaan, Siti Elizad bakal bersaing dengan empat pelakon terkenal iaitu Mimi Lana menerusi Andai Tiada Dia, Nad Zainal (Dosa Tak Terampun), Nora Danish (Bakal Menantu Hajah Noraini) dan Sharifah Sakinah (Curang Tanpa Niat).
Bagaimanapun, pelakon itu tidak menganggap pencalonan bersama nama besar industri sebagai persaingan yang perlu ditakuti, sebaliknya peluang untuk saling menghargai bakat dan pencapaian masing-masing.
“Saya tak melihat mana-mana calon sebagai pesaing yang perlu saya takuti, sebaliknya sebagai rakan seperjuangan yang sama-sama sudah memberikan jiwa dan rasa dalam karya masing-masing.
“Kita mungkin bersaing untuk sebuah pengiktirafan tetapi kita tidak pernah berhenti belajar daripada kehebatan satu sama lain,” katanya.
Mengulas lakonannya dalam Detik Waktu, Siti Elizad berkata antara cabaran paling besar adalah menghayati konflik emosi watak yang berdepan perjuangan mendapatkan zuriat, sesuatu yang disifatkannya dekat dengan pengalaman kehidupan sendiri.
Katanya, cabaran tersebut menuntut penghayatan mendalam bagi memastikan setiap babak mampu menyampaikan emosi dan mesej yang ingin diketengahkan kepada penonton.
Beliau turut menyifatkan drama berkenaan sebagai naskhah yang sarat dengan nilai kemanusiaan, khususnya mengenai masa, kehidupan dan perjuangan yang kadangkala sukar diungkapkan melalui kata-kata.
Dalam pada itu, Siti Elizad merakamkan penghargaan kepada pengarah drama tersebut, Ahmad Idham, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawakan watak berkenaan.
Menurutnya, bimbingan pengarah itu bukan sahaja membantu memperkukuh mutu lakonan, malah membuka ruang untuk dirinya meneroka sisi baharu sebagai seorang pelakon. – BERITA HARIAN









