Sabtu, 28 Jun 2025
UTAMAEKONOMICaruman wajib KWSP untuk pekerja asing bermula Oktober ini

Caruman wajib KWSP untuk pekerja asing bermula Oktober ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan caruman mandatori untuk pekerja bukan warganegara bermula Oktober 2025, sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong amalan pekerjaan lebih adil selaras dengan piawaian antarabangsa.

KWSP dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa caruman itu akan diwajibkan ke atas semua pekerja asing yang memiliki pasport dan pas kerja sah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), kecuali pembantu rumah.

“Pelaksanaan undang-undang ini berkuat kuasa bermula gaji Oktober 2025 bagi caruman November 2025.

“Kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing ditetapkan pada dua peratus daripada gaji bulanan,” menurut kenyataan itu.

Menurut KWSP, lebih 30 sesi libat urus telah dijalankan sejak pengumuman caruman ini dibuat menerusi Belanjawan 2025, melibatkan agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), NGO, serta wakil majikan dan pekerja asing.

“Pendekatan menyeluruh sesi libat urus ini dapat memastikan keselarasan dasar dan kesiapsiagaan pelaksanaan secara menyeluruh di seluruh ekosistem.

“Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran serta menyediakan maklumat jelas dan mudah diakses,” jelas KWSP.

Buat masa ini, penyertaan pekerja bukan warganegara Malaysia dalam skim KWSP adalah secara sukarela.

“Pelaksanaan caruman mandatori ini merupakan langkah penting menyokong agenda nasional agar semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mempunyai akses kepada perlindungan sosial, sekali gus memupuk kesaksamaan dan keadilan dalam pasaran kerja,” tambahnya.

KWSP menggesa semua majikan mendaftarkan syarikat masing-masing melalui laman web rasmi www.kwsp.gov.my atau hadir ke mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Maklumat lanjut termasuk garis panduan pelaksanaan, soalan lazim dan makluman berkala akan disediakan di laman web KWSP dalam masa terdekat, atau boleh juga dihubungi melalui Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP di talian 03-89226000.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN