SHAH ALAM – Sebanyak tujuh buah kenderaan yang diparkir berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini mengalami kerosakan selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian yang berlaku semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, insiden berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.10 petang ketika pemilik kenderaan terbabit meninggalkan kenderaan mereka untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.
“Mereka hanya menyedari kerosakan pada kenderaan masing-masing semasa pulang dari kerja dan mengesyaki ia dilanggar oleh kenderaan berat.
“Setakat pukul 4 petang semalam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Shah Alam telah menerima tujuh laporan berkaitan insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihak polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi mengenal pasti lori yang terlibat.
Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Terdahulu, insiden itu turut tular di media sosial menerusi satu klip video yang menunjukkan kerosakan beberapa kenderaan akibat dilanggar lori yang melarikan diri.