KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik dengan segera berikutan kadar penggunaannya yang masih rendah berbanding rokok konvensional, sekali gus memudahkan kawalan terutama dalam kalangan generasi muda.
Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kadar perokok dewasa kini dianggarkan mencecah 50 peratus, menjadikan usaha pengharaman rokok satu cabaran besar.
“Kami (MCTC) cadangkan vape diharamkan kerana bilangan pengguna terlalu kecil berbanding perokok… 50 peratus dewasa merokok,” katanya kepada media selepas sidang media sempena Hari Antidadah Sedunia di Dewan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Taman Duta, hari ini.
Sha’ani turut menyatakan bahawa jika kerajaan bertindak lebih awal, khususnya pada tahun 2016, kawalan terhadap vape akan menjadi lebih mudah.
“Sekarang sudah ramai, Tapi belum terlambat, kita masih boleh kawal,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa vape kini menjadi “nyawa kedua” kepada industri rokok, yang menguasai proses pembuatan dan pemasaran rokok elektronik.
Tambahnya, pelaksanaan polisi Generational Endgame (GEG) — inisiatif menghentikan penjualan produk tembakau kepada individu lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 — berisiko gagal jika tiada tindakan tegas terhadap gejala vape.
“90 peratus pembuatan dan pemasaran vape dikawal oleh syarikat rokok, Ini adalah nyawa kedua mereka
“Walaupun ada GEG, mereka akan teruskan melalui vape dan e-cigarette,” katanya.
Dalam majlis sama, Sha’ani turut menggesa kerajaan agar mengharamkan semua bentuk promosi oleh industri vape.
“Haramkan semua bentuk iklan, promosi dan juga jualan dalam talian
“Iklan promosi ini memberi tanggapan bahawa vape adalah halal.
“Tiada pihak harus menjemput orang industri dalam apa-apa perbincangan.
“Ini adalah komitmen negara,” tegasnya.
Beliau merujuk kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) 2003 yang menekankan pengawalan, pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau oleh kerajaan.