Khamis, 10 Julai 2025
UTAMASEMASASijil halal ditarik balik, dua hotel lima bintang anjur parti arak

Sijil halal ditarik balik, dua hotel lima bintang anjur parti arak

- Advertisement -

BANDA HILIR – Kerajaan negeri Melaka mengambil tindakan tegas menarik semula sijil halal dua buah hotel terkemuka bertaraf lima bintang di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan parti minuman keras awal bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan itu diambil selepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) melakukan serbuan susulan aduan orang awam.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati pihak hotel telah menggunakan peralatan dapur yang sama untuk penyediaan makanan halal dan juga untuk majlis minuman keras terbabit, walaupun dapur tersebut sebelum ini telah diperakui halal sejak lima tahun lalu.

“Semasa pemeriksaan dibuat, JAIM mendapati memang terdapat satu parti sedang berlangsung dan bekas yang digunakan untuk arak telah dicampur penggunaannya dengan peralatan dapur yang telah diperakui halal,” katanya.

Tambah beliau, pihak hotel terbabit turut mengakui kesalahan tersebut dan tindakan menarik semula sijil halal dilaksanakan serta-merta.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berkata, pihak hotel berkenaan perlu mengemukakan permohonan semula dalam tempoh tiga bulan sekiranya ingin mendapatkan semula pensijilan halal.

“Sekiranya berpuas hati dan mereka menepati semua syarat ditetapkan serta tidak mengulangi kesalahan yang sama, sijil halal boleh diberikan semula. Namun, sehingga hari ini, tiada permohonan semula diterima daripada pihak hotel,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa JAIM akan meneruskan pemantauan terhadap lebih 30 hotel lain yang memiliki sijil halal bagi memastikan pematuhan garis panduan yang ditetapkan.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu ini kerana ia melibatkan sensitiviti dan kepercayaan masyarakat Islam terhadap status halal yang diberikan,” tegas beliau.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN