KUANTAN – Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) mengesahkan penarikan diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2025/26 adalah langkah strategik untuk memperkukuh struktur dalaman kelab demi masa depan yang lebih gemilang.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi hari ini, SPFC menjelaskan bahawa keputusan berani itu dibuat demi memberi ruang untuk penstrukturan semula kelab secara menyeluruh.
“Sri Pahang FC memerlukan masa untuk memperkukuh struktur kelab dan berharap diberi peluang menyertai semula pembangunan bola sepak negeri Pahang pada masa akan datang,” katanya.
SPFC turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong kelab termasuk penganjur, penaja, pihak berkuasa, penyokong serta pengikut setia pasukan.
“Kami ucapkan terima kasih kepada semua dan semoga kita berjumpa lagi pada musim hadapan,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, pada 20 Jun lalu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Sri Pahang tidak akan menyertai Liga M selepas kelab itu mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun bagi menyatakan hasrat menarik diri, walaupun telah menerima lesen kebangsaan untuk musim 2025/26.
Dengan keputusan tersebut, hanya 13 pasukan akan bersaing dalam saingan Liga M yang dijadual bermula 8 Ogos ini.