GERIK – Pemandu bas persiaran yang ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik Isnin lalu, akan didakwa di Mahkamah Majistret Gerik petang ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun itu akan dituduh selepas solat Jumaat.
“Lelaki itu akan didakwa di mahkamah selepas solat Jumaat,” katanya ringkas ketika dihubungi media hari ini.
Difahamkan, suspek akan berdepan 15 pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan, serta satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 42 akta sama kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Terdahulu, suspek ditahan polis di Hospital Taiping pada jam 5.45 petang semalam, selepas menerima rawatan selama empat hari akibat kecederaan yang dialaminya dalam nahas itu.
Suspek yang memakai baju-T biru dan seluar jeans biru, dilihat diiringi tiga anggota polis dengan tangan bergari serta ditutup tuala ketika dibawa menaiki kenderaan peronda (MPV) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.
Dalam kejadian menyayat hati pada pukul 12.45 tengah malam Isnin lalu di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding, sebuah bas persiaran yang membawa 42 penuntut UPSI dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki empat sekeluarga.
Nahas tragis itu meragut nyawa 15 penuntut UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan, manakala pemandu serta penumpang MPV mengalami kecederaan.
Difahamkan, bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjung Malim.