Lagu ‘Hey Raya’ yang menampilkan penyanyi berbakat Syameer Azmi dan Muaz J. (Foto MYBERITA)
KUALA LUMPUR – Lagu ‘Hey Raya’ yang menampilkan penyanyi berbakat Syameer Azmi dan Muaz J hasil ciptaan duo komposer, Kelana Akira dan Shafieq Wahid ini berjaya menggabungkan elemen reggae dan R&B dengan susunan muzik moden serta lirik yang mudah diingati. Lagu ini dijangka menjadi antara karya luar biasa dalam senarai lagu raya tahun ini.
Muaz J (kiri) dan Syameer Azmi (kanan).
Cats Studio Sdn Bhd sekali lagi mencuri perhatian dengan single raya terbaru mereka yang membawa kisah perjalanan Syameer dan Muaz pulang ke kampung. Kegembiraan mereka disambut meriah oleh keluarga dan rakan-rakan, menggambarkan kemesraan dan semangat silaturahim yang menjadi tunjang utama sambutan Aidilfitri. Menurut Syameer, lagu ini bukan sahaja mencerminkan suasana ceria Hari Raya, malah menyampaikan mesej yang lebih mendalam. “Kami mahu membawa semangat raya yang lebih daripada sekadar hiburan – ia tentang kenangan, kasih sayang, dan persahabatan,” katanya. Muaz pula yakin bahawa lirik yang menyentuh hati serta melodi segar dalam ‘Hey Raya’ bakal menjadi pilihan ramai sepanjang Syawal nanti. “Dengan melodi yang fresh dan lirik yang menyentuh hati, kami yakin ‘Hey Raya’ bakal menjadi siulan ramai sepanjang Aidilfitri ini,” ujarnya. Para peminat muzik boleh menikmati lagu ‘Hey Raya’ di semua platform digital serta menonton muzik video rasmi di saluran YouTube Cats Studio. Jangan ketinggalan untuk merasai kemeriahan dan kehangatan lagu ini dalam menyambut Syawal tahun ini.