PUTRAJAYA – Seramai 22,351 daripada 236,986 calon Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2024 berjaya memperoleh keputusan cemerlang dengan mendapat gred A dalam kesemua sembilan mata pelajaran yang diuji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, berkata pencapaian keseluruhan bagi UPKK 2024 amat memberangsangkan dengan 99.9 peratus calon lulus dalam semua mata pelajaran.
“Selain itu, seramai 19,007 calon memperoleh 8A, manakala 17,287 calon mendapat 7A dan 16,990 calon memperoleh 6A. Alhamdulillah, UPKK 2024 menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian mata pelajaran dan skor keseluruhan,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan UPKK 2024, hari ini.
Pencapaian Gred Purata Skor (GPS) secara keseluruhan juga meningkat dengan nilai indeks GPS 1.85, berbanding 1.89 pada tahun sebelumnya, menandakan peningkatan prestasi dalam kalangan pelajar.
Mohd. Na’im turut memaklumkan bahawa UPKK 2024 telah menggunakan format instrumen baharu dengan beberapa perubahan pada mata pelajaran.
“Mata pelajaran UPKK 01 al-Quran dan UPKK 04 Adab telah dikurangkan daripada dua kertas peperiksaan kepada satu sahaja. Selain itu, mata pelajaran Ulum Syariah telah dipecahkan kepada dua mata pelajaran iaitu UPKK 02 Akidah dan UPKK 07 Ibadah, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan mata pelajaran bagi UPKK 2024,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa wajaran markah bagi mata pelajaran UPKK 01 al-Quran telah dipinda kepada 80 markah, sementara ujian bertulis kini diperuntukkan 70 markah. Tempoh masa peperiksaan bertulis juga telah disesuaikan kepada 1 jam dan 15 minit bagi memastikan kesesuaian dengan tahap pembelajaran calon peringkat sekolah rendah.
Mengulas lanjut, beliau berharap jumlah kehadiran calon akan terus meningkat bagi UPKK 2025 sebagai petunjuk kepada keyakinan pelajar dalam menduduki peperiksaan tersebut.
Dengan peningkatan prestasi dan penambahbaikan sistem peperiksaan, UPKK terus menjadi penanda aras kepada tahap pemahaman dan penghayatan pelajar terhadap ilmu-ilmu agama Islam di peringkat awal persekolahan.
-Iklan-



