BANGI – Skim gaji bagi seramai 13,344 pendidik di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara sedang disemak semula bagi meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan golongan pendidik tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta pengurusan baharu Kemas untuk melaksanakan semakan itu secara menyeluruh.
“Semakan ini bukan sekadar arahan biasa, saya telah perintahkan mereka melaksanakannya. Kita tidak boleh menuntut semangat kerja luar biasa daripada tenaga pendidik sekiranya asas kebajikan mereka diabaikan,” katanya semasa Majlis Sambutan Hari Pendidik Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa ekosistem kerja yang menghargai tenaga pengajar mampu melahirkan pendidik Kemas yang lebih dinamik dan berdaya saing serta terus menjadi tonggak pendidikan komuniti negara.
Beliau turut menyentuh isu ketidakselarasan skim gaji yang diterima oleh pendidik Kemas, yang masih berdasarkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun kebanyakan mereka memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak.
“Perkara ini seolah-olah terlepas pandang. Mereka kini memohon agar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) meneliti semula nasib mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, sebahagian besar tenaga kerja Kemas kini berstatus kontrak dan mereka memohon supaya diberikan jawatan tetap dengan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tanpa pencen.
“Permintaan ini sangat munasabah kerana ia tidak melibatkan penambahan perbelanjaan besar kerajaan,” katanya.
Usaha ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkasa peranan pendidik Kemas dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

