Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Lim didakwa mengedar dadah jenis serbuk ekstasi seberat 6,389 gram di sebuah rumah sewa di Taman Sri Treh, di sini, pada pukul 4 petang, 16 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 25 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh. – MYBERITA








