KUALA LUMPUR — Vokalis kumpulan Akim & The Majistret (ATM), Akim Ahmad sanggup menahan nafsu menjamah durian demi memastikan suara dan kesihatannya berada dalam keadaan terbaik menjelang konsert sulung berskala besar ATM Rampas yang berlangsung malam tadi di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menurut Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad, 34, musim durian yang sedang rancak kini memang menggoda, namun beliau memilih untuk mengutamakan komitmen terhadap peminat.
“Sejak tiba musim durian saya tengok ramai makan durian. Jadi saya pun teringin nak makan.
Tapi demi menjaga suara, saya terpaksa lupakan dulu durian buat seketika sebab takut akan beri kesan kepada suara saya. Risau kalau makan badan jadi panas.
Tapi bila dah habis konsert ini boleh lah kita makan durian,” katanya sambil berseloroh ketika ditemui selepas tamat konsert.
Akim tampil dengan persembahan bertenaga dan penuh emosi di hadapan kira-kira 5,000 peminat yang membanjiri dewan konsert, membuktikan pengorbanannya tidak sia-sia.
Beliau mengakui hampir menitiskan air mata saat melangkah ke pentas setelah melihat sokongan luar biasa daripada para peminat.
“Saya hampir menangis sebab sangat terharu dan terkejut melihat ramai peminat hadir.
Konsert kali ini lebih besar dan berbeza dengan konsert sebelum ini yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Biarpun ada dua lagi konsert yang berlangsung pada waktu sama, peminat masih memilih untuk berada di sini dengan kami.”
Tambah Akim, penganjuran konsert di Mega Star Arena yang terletak di kawasan ikonik Bukit Bintang turut memberi makna tersendiri buat kumpulan itu.
“Mega Star Arena ini lokasi yang sangat ikonik kerana terletak di nadi bandar Kuala Lumpur. Dapat buat persembahan di sini merupakan satu sejarah buat kami. Memang kami nak sangat buat konsert di sini.”
ATM yang ditubuhkan sejak 11 tahun lalu turut dianggotai oleh Zimi, Freddy, Safwan, Gjie, Afiez dan Fairuz. Kumpulan ini berasal daripada gabungan pemuzik pelbagai kugiran dan pada mulanya hanyalah projek khas.
Antara lagu yang menghangatkan malam konsert termasuk “Rampas”, “Mewangi”, “Potret”, “Obses” dan “Saksama”. Tidak ketinggalan, Akim turut mendendangkan lagu ciptaannya yang pernah dipopularkan penyanyi lain seperti “Cinta” (Marsha Milan), “Bunga” dan “Warkah” (Ara Johari), serta “Sengaja” (Amir Masdi).
Konsert ATM Rampas membuktikan bahawa selepas lebih satu dekad, kumpulan ini masih utuh dengan peminat yang terus setia menyokong perjalanan muzik mereka.

