Perkara 9(1) memperuntukkan bahawa sekiranya Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan tugas disebabkan oleh penyakit, ketiadaan dari Malaysia atau sebab lain, atau sekiranya berlaku kekosongan jawatan, kuasa dan fungsi berkenaan boleh dijalankan oleh pegawai kehakiman lain seperti yang diperuntukkan.
Berdasarkan sub-seksyen (b), tanggungjawab itu boleh diambil alih oleh Hakim Besar Malaya sekiranya Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) tiada di Malaysia, tidak dapat bertindak, atau jika berlaku kekosongan dalam jawatan PCA itu sendiri.
“Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” kata kenyataan itu.
Jawatan Ketua Hakim Negara kini kosong susulan persaraan wajib Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menamatkan perkhidmatan semalam setelah mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan kehakiman tertinggi negara itu.
Tengku Maimun mula dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2 Mei 2019, menggantikan Tan Sri Richard Malanjum.
Pada hari terakhirnya sebagai Ketua Hakim Negara, beliau sempat menyempurnakan beberapa tugas penting termasuk mendengar rayuan akhir dalam kes pembunuhan berprofil tinggi membabitkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais. – MYBERITA








