KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa program yang diserbu polis di sebuah banglo di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini bukanlah pesta gay seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan program kesedaran kesihatan berkaitan jangkitan virus HIV.
Menurut beliau, program tersebut dijalankan oleh Pertubuhan Sahabat, sebuah NGO kesihatan yang beroperasi di bawah Yayasan AIDS Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Penegasan itu dibuat menerusi satu hantaran di platform X (dahulunya Twitter) pada Isnin sebagai respon terhadap gesaan netizen agar beliau mempertahankan penganjuran program tersebut yang telah disalah tafsir oleh segelintir pihak.
“Saya ingin jelaskan bahawa program itu adalah inisiatif kesedaran kesihatan HIV, bukan pesta gay,” katanya ringkas.
Dalam hantaran sama, beliau turut memetik kenyataan rasmi Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menjelaskan bahawa aktiviti tersebut bertujuan memberi pendidikan kesihatan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM).
“Pendidikan kesihatan sebegini penting dalam meningkatkan literasi kesihatan dan melindungi individu lain seperti isteri dan anak-anak daripada risiko jangkitan HIV.
“Program dijalankan dengan matlamat untuk mencegah penyakit, galakkan diagnosis awal dan memastikan rawatan awal dapat diberikan untuk mengelak komplikasi,” jelas Dr Zaini dalam kenyataan media yang dikongsikan semula oleh Dr Dzulkefly.
Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut mengulangi pendirian KKM bahawa pendekatan kesihatan awam perlu selaras dengan dasar negara, yang mengambil kira nilai keagamaan dan sensitiviti budaya, sambil memastikan akses kepada rawatan kesihatan disediakan secara menyeluruh tanpa diskriminasi.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan pihaknya telah menyerbu satu perjumpaan yang didakwa melibatkan lebih 100 lelaki dipercayai golongan gay berusia antara 20 hingga 30-an pada pertengahan Jun lalu.
Serbuan dilakukan sekitar jam 1 pagi di sebuah banglo di kawasan Kemumin, hasil risikan dan maklumat awam. Bagaimanapun, beberapa NGO tampil menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa acara itu bersifat pendidikan dan kesedaran kesihatan.

