AMPANG – Paradise Food Festival 1.0 (PFF 1.0) mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya dianjurkan buat julung kalinya selama lima hari bermula 24 hingga 28 Disember 2025 ini sekali gus menjanjikan pengalaman luar biasa yang menghimpunkan makanan, hiburan dan aktiviti kekeluargaan dalam satu acara berskala besar.
Festival makanan dan hiburan yang berlangsung di Tapak Parkir Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), berhadapan Balai Bomba Pandan Indah ini, dianjurkan khas untuk warga Pandan Indah serta kawasan sekitar sebagai usaha mengeratkan hubungan komuniti setempat.
Menurut Pengarah Paradise Food Festival, Muhammad Islah Abdullah, penganjuran sulung PFF 1.0 menerima sambutan awal yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat sejak pengumumannya dibuat.
“Kami amat berbesar hati dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Pandan Indah atas sokongan luar biasa yang ditunjukkan. Ini merupakan kali pertama Paradise Food Festival diadakan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ia memberi semangat kepada pihak penganjur untuk terus membawa acara yang berkualiti dan bermanfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau berkata, Paradise Food Festival bukan sekadar festival makanan, sebaliknya berperanan sebagai platform menyatukan masyarakat, menyokong peniaga tempatan, serta memberi ruang kepada industri kreatif dan hiburanuntuk mendekati orang ramai.
Sepanjang lima hari penganjuran, pengunjung bakal dihiburkan dengan pelbagai persembahan artis popular tanah air antaranya CERPEN, K.O.I, Drama Band, Hazama, Didi Astillah, Letchumi Sandraj, Syura Badron, Kucaimarz, Haikal Farid dan Faisal Ahmad, selain kehadiran ramai lagi artis jemputan.
Festival ini turut dimeriahkan dengan sesi Meet & Greet artis dan pempengaruh media sosial, jualan makanan viral dan unik, serta persembahan menarik seperti tarian, teater, pertunjukan api dan magik.
Tidak ketinggalan, pelbagai aktiviti mesra keluarga disediakan termasuk pertandingan mewarna dan memanah bagi memberi pengalaman menyeronokkan kepada kanak-kanak serta seisi keluarga.
Paradise Food Festival 1.0 dianjurkan hasil kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan disokong oleh MYBERITA sebagai media rasmi.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga dan rakan-rakan bagi memeriahkan festival ini, sekali gus menjadikan Paradise Food Festival 1.0 sebagai satu kenangan manis dan acara ikonik buat semua rakyat Malaysia.

