GEORGE TOWN – Seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas ke kawasan kerja-kerja pengorekan jalan sebelum ditusuk dengan sebatang besi dalam kejadian di Desa Mawar, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.37 pagi itu, mangsa, Lim Soon Teik, 67, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka.
Difahamkan, mangsa yang memandu bersendirian kereta jenis Toyota Vios dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan yang ditutup bagi kerja-kerja pemasangan kabel elektrik. Akibat kejadian itu, sebatang besi dari kawasan pembinaan berkenaan telah tertusuk dari bahagian bawah kenderaan sehingga menembusi bumbung kereta.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 9.37 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong.
“Insiden melibatkan sebuah kereta Toyota Vios yang terbabas di bahu jalan. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kerja-kerja mengeluarkan mayat telah dilakukan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tambah beliau, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

