KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia menegaskan pendirian tegasnya untuk terus mempertahankan kedaulatan wilayah negara berpandukan Peta Baharu Malaysia 1979 dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan maritim oleh pihak luar yang bercanggah dengannya, termasuk daripada China.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia tidak mempunyai sebarang pertindihan kawasan maritim dengan China berasaskan peta yang diperakui di peringkat antarabangsa pada 1979.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang permohonan atau tuntutan kedaulatan daripada negara lain sekiranya ia tidak selari dengan sempadan yang telah ditetapkan dalam peta tersebut.
“Kita tetap dengan Peta 1979. Sesiapa sahaja yang menuntut wilayah mereka selepas itu, kita tidak peraku dan tidak iktiraf. Malah, kita tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan negara China berkenaan tuntutan tersebut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik dalam proses penetapan sempadan antara Malaysia dengan beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan China, bagi memastikan penguatkuasaan zon maritim, udara dan darat lebih berkesan serta pencerobohan sifar.
Mohamad menegaskan setiap langkah kerajaan dalam menguruskan sempadan negara adalah berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa bagi menjamin kedaulatan wilayah dan integriti sempadan terus terpelihara.
Beliau turut menekankan bahawa istilah “proses rundingan penetapan sempadan” lebih tepat berbanding “pertikaian” kerana Malaysia tidak mempunyai perselisihan yang membawa kepada permusuhan dengan mana-mana negara jiran.
Menteri itu juga menegaskan ketegasan Malaysia dalam isu kedaulatan Sabah, dengan menyatakan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana wilayah tersebut sah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia melalui proses yang ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri dan diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1963.
Bagi hubungan sempadan dengan Indonesia, Mohamad memaklumkan rundingan sedang giat dijalankan berdasarkan konvensyen sejarah tahun 1891, 1915, dan 1928. Pada Februari 2025, kedua-dua negara memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara, menyelesaikan jarak 58.3 kilometer sempadan darat di Barat Pulau Sebatik.
Bagi Singapura, tumpuan kini adalah usaha mengambil semula pengurusan kedaulatan ruang udara secara berfasa di selatan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) yang kini berada di bawah kawalan teknikal Singapura.
Sementara itu, bagi sempadan dengan Thailand, sebanyak 11 MoU telah ditandatangani, menyaksikan kejayaan penandaan sepanjang 543 kilometer atau kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan sempadan darat.
Menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Bobbey Suan mengenai tindakan waris Sultan Sulu mencabar kedaulatan negara di mahkamah Eropah, Mohamad menyifatkan perbuatan itu sebagai strategi mencari ruang di negara berbeza untuk mendapatkan keputusan memihak mereka. Beliau berkata kumpulan penuntut itu mula mengemukakan kes di Sepanyol, gagal, sebelum beralih ke Luxembourg, Belgium, dan akhirnya Paris.
“Tuntutan waris Sultan Sulu ini berasingan daripada tuntutan kerajaan Filipina, namun kedua-duanya tidak kita iktiraf sama sekali,” katanya.
Kejayaan Malaysia membatalkan beberapa keputusan mahkamah di Eropah baru-baru ini dilihat sebagai tamparan hebat kepada kumpulan penuntut berkenaan, sekaligus memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam mempertahankan hak wilayah negara.
