Rabu, 5 Ogos 2026
spot_img
NasionalGanjaran RM1.1 juta jadi suntikan semangat atlet negara lepas cemerlang di Glasgow

Ganjaran RM1.1 juta jadi suntikan semangat atlet negara lepas cemerlang di Glasgow

SEPANG – Kejayaan kontinjen Malaysia melakar pencapaian membanggakan dengan melepasi sasaran lapan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 disusuli berita gembira apabila atlet yang berjaya menaiki podium bakal menerima ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM).

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, insentif itu merupakan tanda penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Menurut beliau, setiap pemenang pingat emas akan menerima RM80,000, manakala bonus tambahan RM10,000 diberikan kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod temasya.

“Untuk SHAKAM, kita memberikan berdasarkan pingat. Kalau untuk pingat emas, kita berikan RM80,000 dan jika dia melepasi rekod pertama ataupun ‘break the record’, kita tambah sebanyak RM10,000.

“Kemudian perak sebanyak RM40,000 dan juga gangsa sebanyak RM20,000,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan RM1.1 juta itu melibatkan atlet yang menyumbang lapan pingat emas, tiga pingat perak dan lima pingat gangsa sepanjang temasya berlangsung.

“Secara keseluruhannya untuk kali ini, RM1.1 juta wang SHAKAM disalurkan kepada atlet-atlet kita yang berjaya merangkul pingat-pingat tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, Taufiq memaklumkan kerajaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti cadangan untuk meningkatkan kadar ganjaran SHAKAM pada masa hadapan dengan penglibatan sektor korporat bagi memperkukuh sumber pembiayaan.

“Di peringkat MSN, kita sedang berbincang untuk peningkatan wang SHAKAM ini. Sudah pasti ia memerlukan perbincangan yang lebih mendalam supaya kita mendapat sumber kewangan bukan sahaja daripada kerajaan, tetapi juga pihak korporat,” ujarnya.

Mengulas prestasi kontinjen negara di Glasgow, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda positif menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.

Katanya, perubahan pendekatan dengan menetapkan sasaran berdasarkan warna pingat berbanding jumlah keseluruhan berjaya memberi motivasi kepada atlet sehingga sasaran awal lima emas bukan sahaja dicapai, malah dilepasi dengan kutipan lapan emas.

“Ketetapan dan juga sasaran pingat kita sebelum ini, kita telah membuat sedikit perubahan iaitu sasaran tidak hanya pingat secara keseluruhan, tetapi berdasarkan warna. Alhamdulillah kita mencapai sasaran tersebut dan langkah berani ini pada akhirnya membuahkan hasil untuk kita semua,” katanya.

Beliau yakin momentum cemerlang yang dipamerkan kontinjen negara di Glasgow mampu diteruskan dalam menghadapi cabaran lebih besar di pentas Sukan Asia, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa atlet Malaysia berada di landasan terbaik untuk terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-