PUTRAJAYA – “Insya-Allah, doakan,” demikian reaksi ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai inti pati Belanjawan 2027 sebelum berangkat ke Parlimen, petang Jumaat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan hanya tersenyum sambil menunjukkan isyarat ibu jari sebagai tanda positif kepada pemberita yang menantikan perkembangan Belanjawan Madani kelima itu.
Beliau meninggalkan bangunan Kementerian Kewangan (MoF) kira-kira pukul 2.55 petang untuk menuju ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2027 yang dijadualkan bermula pukul 3.30 petang.
Tampil segak mengenakan baju Melayu berwarna biru cerah lengkap bersamping dan bersongkok, Anwar turut dilihat membawa sebuah beg hitam bercorak kraf yang mengandungi teks ucapan belanjawan berkenaan.
Perdana Menteri diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut mengenakan pakaian sedondon berwarna biru cerah.
Terdahulu, Anwar menyertai majlis bacaan doa di lobi utama bangunan Kementerian Kewangan yang dipimpin Pegawai Hal Ehwal Islam (Pengukuhan), Unit Integriti MoF, Muhamad Fierdauss Rosli.
Turut hadir mengiringi beliau ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican serta beberapa pegawai kanan kementerian.
Belanjawan 2027 yang membawa tema ‘Malaysia Madani: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ terus memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama kerangka Ekonomi Madani.
Tiga tonggak berkenaan merangkumi usaha menaikkan siling pertumbuhan negara, menaikkan lantai kesejahteraan hidup rakyat serta memacu pembaharuan tatakelola pentadbiran negara.
Pembentangan kali ini menjadi perhatian rakyat yang menantikan pengumuman berhubung langkah kerajaan menangani kos sara hidup, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. – MYBERITA
