KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Jalil, esok, ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa serta risiko kesihatan dan keselamatan orang ramai yang bakal menyertai program berkenaan.
Menurut kementerian itu, keputusan penangguhan dibuat atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan selepas perbincangan terperinci bersama agensi kerajaan berkaitan.
“Sehubungan itu, atas nasihat dan persetujuan YB Menteri Belia dan Sukan, KBS dengan ini memaklumkan bahawa sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Bukit Jalil pada 10 Oktober 2026 (Sabtu) DITANGGUHKAN,” menurut kenyataan media KBS hari ini.
KBS menjelaskan, tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara sehingga mencapai tahap yang selamat untuk aktiviti luar.
Dalam perkembangan sama, sambutan HSN di tujuh negeri dan wilayah turut ditangguhkan, membabitkan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagaimanapun, penganjuran di Pahang, Terengganu, Kelantan, Perlis, Perak, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan masih diteruskan seperti dirancang, tertakluk kepada keadaan setempat serta keputusan pentadbiran masing-masing.
KBS menegaskan bahawa aspek kesihatan awam dan keselamatan peserta sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika negara berdepan keadaan jerebu yang boleh menjejaskan aktiviti fizikal di kawasan terbuka.
“Keputusan ini dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, kementerian berkenaan turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang sedang melanda negara.
KBS turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul susulan penangguhan tersebut selain merakamkan penghargaan terhadap kerjasama dan pengertian semua pihak.
Orang ramai juga diseru supaya mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah buat sementara waktu serta sentiasa mengikuti nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). – Kementerian Belia dan Sukan
