KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengambil langkah melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid bermula Isnin ini, 12 Oktober, bagi mengurangkan risiko kesihatan dalam kalangan warga kampus susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Keputusan itu membolehkan aktiviti akademik diteruskan dengan lebih fleksibel tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan universiti.
Naib Canselor UM, Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, langkah berkenaan merupakan tindakan proaktif universiti dalam memastikan kelangsungan pembelajaran ketika keadaan kualiti udara tidak menentu.
“Kesihatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kami. Dalam keadaan jerebu ketika ini, adalah penting untuk Universiti mengambil langkah yang sewajarnya bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan, tanpa menjejaskan peluang pelajar untuk meneruskan pembelajaran.
“Pelaksanaan PdP secara hibrid membolehkan aktiviti akademik diteruskan dengan lebih fleksibel, mengambil kira keadaan semasa dan keperluan pelajar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, pihak universiti turut menyarankan supaya aktiviti luar bangunan ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada jerebu.
Bagaimanapun, sebarang aktiviti yang perlu diteruskan hendaklah dilaksanakan berdasarkan penilaian risiko dan langkah kawalan bersesuaian mengikut keadaan semasa.
“Aktiviti dalam bangunan juga digalakkan bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara,” katanya.
Warga kampus turut dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan, termasuk mengurangkan aktiviti luar bangunan serta memakai pelitup muka jenis N95 ketika berada di luar, khususnya sekiranya kualiti udara semakin merosot.
Sementara itu, Noor Azuan menegaskan pihak universiti akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dan menilai keberkesanan langkah yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Sebarang perubahan atau arahan lanjut berhubung pelaksanaan PdP akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi rasmi Universiti Malaya. – Instagram
