KUALA LUMPUR – Pasir Gudang, Johor kekal mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara iaitu 179, meskipun keadaan jerebu di Malaysia menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah kawasan dengan kualiti udara tidak sihat menurun kepada 14 setakat pagi ini.
Berdasarkan data terkini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), jumlah kawasan terjejas berkurangan sebanyak 19 berbanding 33 kawasan yang direkodkan sebelum ini.
Perkembangan itu menyaksikan kebanyakan kawasan di seluruh negara mula menunjukkan pemulihan apabila 50 stesen pemantauan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Bagaimanapun, Johor masih menjadi negeri paling terjejas dengan tujuh kawasan mencatatkan bacaan tidak sihat, termasuk Larkin (178), Kota Tinggi (165), Tangkak (163), Segamat (161), Pengerang (160) dan Kluang (159).
Di Pahang, dua kawasan turut merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu Balok Baru, Kuantan dengan bacaan 159 dan Rompin (152).
Sementara itu, tiga kawasan di Terengganu masih terjejas membabitkan Kuala Terengganu (157), Kemaman (156) dan Paka (144).
Keadaan sama turut direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur dengan bacaan IPU 156, manakala Batu Pahat, Johor mencatatkan 145.
Dalam perkembangan berkaitan, empat kawasan berjaya merekodkan kualiti udara pada tahap baik iaitu Balik Pulau, Pulau Pinang dengan bacaan terendah negara sebanyak 25, diikuti Langkawi, Kedah (37), Kangar, Perlis (47) dan Minden, Pulau Pinang (49).
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Walaupun jumlah kawasan terjejas semakin berkurangan, orang ramai khususnya golongan berisiko dinasihatkan supaya terus memantau perkembangan kualiti udara sebelum menjalankan aktiviti luar. – MYBERITA
