Jumaat • 6 Jun 2025
UTAMASEMASA220 kerusi ‘haram’ disita di Teluk Senangin

220 kerusi ‘haram’ disita di Teluk Senangin

- Advertisement -

LUMUT  — Sebanyak 220 kerusi ‘haram’ disita Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam satu operasi penguatkuasaan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung yang dijalankan hari ini di sekitar kawasan pantai Teluk Senangin.

Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, operasi tersebut turut menyaksikan sitaan 19 meja kayu, satu meja besi, satu payung, 25 pelampung dan tiga khemah, semuanya digunakan dalam aktiviti penyewaan tanpa lesen sah.

Beliau memaklumkan bahawa tindakan itu diambil berikutan aduan awam berkaitan penyewaan kerusi pelampung yang dilakukan secara tidak sah tanpa mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan.

“Aktiviti penyewaan kerusi pelampung adalah dibenarkan, tetapi perlu mematuhi Syarat Pelesenan MPM. Peniaga berlesen wajib menyimpan semula peralatan sejurus selepas tempoh sewaan tamat,” katanya hari ini.

Menurut beliau, MPM tidak pernah melantik atau memberi kuasa kepada mana-mana individu, organisasi atau persatuan untuk mengutip bayaran daripada pengunjung, dan tindakan sedemikian adalah menyalahi undang-undang.

Setakat ini, MPM telah mengeluarkan 10 permit sah, namun hanya tiga pengusaha aktif, manakala tujuh lagi tidak menjalankan operasi seperti diluluskan.

Tambahnya lagi, antara syarat ketat yang perlu dipatuhi oleh pengusaha berlesen adalah tidak meletakkan peralatan sewaan lebih awal, serta tidak dibenarkan mengutip bayaran untuk sewaan selain daripada yang dinyatakan dalam lesen.

“Dalam operasi hari ini, enam tindakan sitaan telah dilaksanakan ke atas peralatan yang dipasang tanpa kebenaran di sepanjang Pantai Teluk Senangin,” jelasnya.

Tindakan ini dilaksanakan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang melarang sebarang halangan di tempat awam.

MPM menegaskan pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk peniagaan haram yang menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengunjung di kawasan pelancongan tersebut.

Iklan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

ARTIKEL BERKAITAN