KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin bahawa kini adalah waktu yang tepat untuk pelumba trek lelaki negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menyinar dan menjadi harapan utama Malaysia dalam kejohanan yang disertainya.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata beliau yakin Shah Firdaus mampu menggalas tanggungjawab besar itu bagi menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang setelah prestasi cemerlang yang ditunjukkan pada Sukan Olimpik Paris 2024.
\”Memang sudah sampai masanya untuk Shah Firdaus. Semasa di Paris 2024, kita dapat lihat apabila beliau diberikan mandat untuk acara keirin, dia berjaya membuktikan kebolehannya dengan layak ke final,\” katanya selepas merasmikan Forum ADR Sukan ASEAN 2025 di Asian International Arbitration Centre (AIAC), hari ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias, dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Almalena Sharmila Johan.
Hannah turut berbangga dengan kejayaan Shah Firdaus yang memenangi pingat emas dalam acara keirin Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye, semalam. Selain itu, beliau turut berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
\”Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Shah Firdaus. Saya gembira kerana semasa di Paris 2024, saya dapat melihat betapa gigih usahanya untuk bangkit selepas mengalami kekalahan. Usahanya yang berterusan akhirnya membuahkan hasil.
\”Saya bersama KBS dan Majlis Sukan Negara amat berbangga melihat kejayaan Shah Firdaus meraih pingat emas. Akhirnya, beliau berjaya naik podium dan mengharumkan nama Malaysia.
\”Saya juga ingin memberi galakan kepada Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati untuk terus berusaha kerana jurulatih mereka, John Beasley, memberikan laporan yang sangat positif mengenai potensi mereka. Kedua-dua atlet ini kini menerima manfaat daripada program Jawatankuasa Road to Gold,\” tambahnya.
-Iklan-

.png/%22)